KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program untuk memperkasa dan meningkatkan kesejahteraan golongan belia di negeri ini, selaras dengan Dasar Belia Sabah.
Misalnya, pada tahun lalu, beberapa program latihan kemahiran jangka pendek dan panjang dalam pelbagai sektor termasuk dalam bidang perhotelan, pembinaan dan dandanan rambut telah dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran dan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia di seluruh negeri.
Pelbagai aktiviti di bawah program kepimpinan belia, perpaduan sosial dan jaringan kerjasama juga dilaksanakan termasuk program Skim Jaya Usahawan Belia, program Dialog Bersama Pemimpin, Super Youth dan Youth Leadership Unity.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata, pada tahun ini, Kerajaan Negeri akan memperluaskan pelaksanaan aktiviti Youth Leadership Unity di beberapa daerah termasuk Long Pasia, Sipitang dan daerah-daerah lain.
Selain itu, sistem pendaftaran digital melalui Youth Management System juga telah dibangunkan oleh Kerajaan Negeri untuk memperkemaskan pangkalan data dan maklumat belia di negeri ini.
“Dalam konteks pembangunan sukan, Kerajaan Negeri akan mempergiatkan lagi usaha pembangunan atlet termasuk melaksanakan pelbagai program pencarian bakat baharu untuk diserap dalam skuad negeri dan latihan intensif atlet sebagai persediaan bagi menyertai pertandingan-pertandingan sukan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Kerajaan Negeri sedang melaksanakan pelbagai program pembinaan baharu, penaiktarafan dan penyelenggaraan kompleks sukan dan arena belia di seluruh negeri Sabah.
Kerajaan Negeri turut menaik taraf kemudahan-kemudahan sukan komuniti seperti padang bola sepak dan gelanggang serbaguna di kawasan-kawasan luar bandar untuk kegunaan sukan dan riadah bagi menyemarakkan budaya sukan di semua lapisan masyarakat.
“Beberapa inisiatif flagships di bawah Pelan Pembangunan SMJ akan diteruskan pada tahun ini, termasuk penganjuran Sukan Bawah 12 Tahun peringkat antarabangsa,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di sini hari ini.































