Hajiji (tengah) mengarahkan tindakan selepas taklimat oleh Mohd. Yaakob (kanan) mengenai rancangan segera dan ke hadapan SESB. Shahelmey, Safar dan Abdul Nasser turut hadir.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri sedang mengambil langkah untuk menangani isu bekalan air dan elektrik yang melanda Sabah ketika ini.
“Air dan elektrik adalah isu legasi yang Kerajaan Negeri sekarang sedang mengambil langkah segera untuk diselesaikan.
“Saya harap rakyat memahami situasi ini dan saya menyeru pihak yang mengkritik supaya tidak mempolitikkan perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
“Pagi ini, saya menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir. Ts Mohd. Yaakob Jaafar untuk memberi taklimat kepada saya mengenai langkah segera dan akan datang yang diambil SESB bagi menangani masalah kekurangan bekalan elektrik yang membebankan ramai orang,” katanya.
Mengenai isu bekalan air, Ketua Menteri telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong mengambil tindakan drastik untuk memperbetulkan pentadbiran pengurusan air negeri.
Menurutnya, Kerajaan Negeri bukan sahaja mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik tetapi juga bergerak ke hadapan untuk mewujudkan pelan kontingensi.
“Kita melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara itu kerana kita juga serius dalam usaha menarik pelabur ke Sabah. Kedua-dua kemudahan ini penting untuk pelabur.
“Kita telah menarik pelabur berimpak tinggi untuk menempatkan projek mereka di sini seperti SK Nexilis, pengeluar kaca solar Kibing, Linaco dan Esteel dan kita mahu melihat lebih banyak lagi. Kita serius,” katanya.
“Negeri telah menyediakan pelan tindakan untuk membetulkan isu ini dan dengan jaminan dan komitmen Perdana Menteri untuk membantu Sabah, saya yakin akan ada penyelesaian,” tambahnya.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya, Safar dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid.