Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Mayat seorang wanita ditemukan dalam sebuah rumah terkunci di sini petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu berkata, kejadian berlaku di Taman Likas Jaya, Likas pada kira-kira jam 4.20 petang.
Katanya, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak hospital menerusi talian MERS999 pada jam 4.24 petang yang memohon bantuan untuk membuka pintu pagar terkunci kerana terdapat mayat seorang wanita di dalam rumah tersebut.
“Bertindak atas makluman, sepasukan enam anggota diketuai oleh Komander Operasi, PBK II(KUP) Amran Lawadin dikejarkan ke lokasi yang terletak tujuh kilometer dari BBP itu.
“Setiba di tempat kejadian, pasukan bomba bertindak membuka pintu pagar terkunci menggunakan peralatan khas sebelum membawa mangsa keluar dan menyerahkannya kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kata Ordine, maklumat mangsa meninggal dunia tidak diperolehi dan operasi ditamatkan pada jam 4.46 petang.































