KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membantu menyelesaikan isu bekalan air Sabah seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
“Kerajaan Negeri sedang melaksanakan rancangan kita sendiri untuk menangani masalah air dan dengan kehadiran Persekutuan untuk memberikan bantuan, kita percaya masalah itu dapat diselesaikan dengan cepat,” katanya.
Ketua Menteri menjelaskan bahawa Perdana Menteri tidak menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengambil alih pengurusan bekalan air negeri.
Hajiji Haji Noor
“Apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri ialah Kerajaan Persekutuan akan membantu dalam pengurusan masalah itu dengan menyediakan pembiayaan yang lebih besar sama seperti isu air di Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hajiji berkata, Kerajaan memandang serius masalah bekalan air di Sabah.
“Kita akan menyelesaikan semua isu semasa pertemuan dengan Perdana Menteri untuk mendapatkan penyelesaian yang berkekalan,” katanya.