PETALING JAYA: Seramai tujuh individu diambil keterangan setakat ini berkaitan kes buli membabitkan seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Taman Melawati, Gombak, dekat sini pada Isnin lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak mengesahkan, tujuh individu tersebut adalah mereka yang dipercayai berada di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.
“Setakat ini, tujuh individu sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan lanjut kes buli berkenaan. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun keseksaan. Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu,” katanya.
Difahamkan, tujuh individu berkenaan dipercayai terdiri daripada suspek dan saksi yang berada di lokasi kejadian namun tiada tangkapan dilakukan setakat ini.
Media melaporkan Jumaat, seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Taman Melawati cedera akibat dipukul lima pelajar Tingkatan Lima di Bukit Mar Mar Kemensah, Isnin lalu.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, mangsa ditumbuk di bahagian dada selain dicekik dan ditendang oleh seorang pelajar tingkatan lima.
Pada hari sama, mangsa kemudian diajak oleh lima pelajar terbabit ke Bukit Mar Mar, Kemensah pukul 3 petang sebelum dipukul dengan disaksikan sekitar 10 hingga 15 pelajar.
Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di dahi, luka kening kiri, rahang selain bengkak pada tengkuk