Mangsa dibawa turun menggunakan pengusung. – Ihsan Bomba
RANAU: Seorang pendaki wanita diusung turun oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) hari ini setelah mengalami kecederaan di kaki.
Mangsa yang berusia 55 tahun terseliuh di buku lali kaki kanan di Kilometer 6.6, Restoran Laban Rata pada jam 9.47 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima menerusi talian balai dan sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II (KUP) Kamidin Rasim dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 600 meter dari pondok kawalan MOSAR itu, pasukan MOSAR bersama Malim Gunung membawa mangsa turun ke Laban Rata menggunakan pengusung untuk pemeriksaan oleh anggota Park SAR,” katanya.
Menurut Ridwan, mangsa kemudiannya dibawa turun ke Timpohon Gate dan seterusnya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut menggunakan kenderaan EMRS Bomba.
Operasi ditamatkan pada jam 2.53pm.































