KUALA PENYU: Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar seekor kerbau di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, PPgB Mohd. Johainin Ruslan berkata, mangsa PB Mohd. Haziq Abdul Jalil, 32, yang bertugas di BBP Kimanis, dalam perjalanan balik ke Kuala Penyu dari kerja shift pagi apabila kejadian itu berlaku di jalan raya Kampung Purun, pada jam 9.30 malam.
Katanya, BBP Kimanis menghantar sepasukan enam anggota ke lokasi itu selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setiba di tempat kejadian, didapati kemalangan itu melibatkan sebuah motorsikal jenis Yamaha LC yang telah melanggar seekor kerbau.
“Mangsa yang ditemui oleh orang awam berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan seterusnya telah dihantar ke Hospital Kuala Penyu oleh pihak ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Menurut Johainin, Mohd. Haziq disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Penyu oleh pegawai perubatan.