Keadaan bas yang terbabit kemalangan dengan dua buah treler di Kilometer 257.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Kuala Kangsar hari ini.- Ihsan Bomba
KUALA KANGSAR: Seramai 26 penumpang sebuah bas ekspres mengalami detik cemas apabila kenderaan yang mereka naiki mengundur sejauh 700 meter sebelum melanggar pembahagi jalan di Kilometer 257.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini pagi tadi.
Kejadian pada pukul 2.20 pagi di laluan mendaki bukit itu menyebabkan pemandu bas berusia 35 tahun dan 14 penumpang lain cedera ringan.
Kesemua mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kejadian melibatkan bas ekspres yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Kajang dengan dua buah treler muatan ‘besi scrap’.
Katanya, kemalangan berlaku ketika bas ekspres berkenaan memotong sebuah treler yang dipandu perlahan di hadapan laluannya di lorong kiri dengan melalui lorong tengah.
“Selepas memotong kenderaan itu dan mara di lorong tengah, tiba-tiba terdapat sebuah lagi treler dipandu perlahan di lorong sama.
“Oleh kerana jarak yang dekat, pemandu bas cuba mengelak dan membrek kenderaan namun gagal lalu merempuh bahagian belakang treler berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pelanggaran tersebut menyebabkan bas berkenaan hilang kawalan dan gagal berhenti sebelum kenderaan itu mengundur ke belakang menuju ke arah sebuah treler sebelumnya yang ketika itu telah pun berada di lorong tengah.
“Pemandu treler yang melihat bas itu sedang meluru ke belakang secara mengundur telah cuba mengelak ke kiri namun bahagian belakang kiri bas telah melanggar bahagian belakang kanan kenderaan berat itu.
“Bas itu kemudiannya hilang kawalan dalam keadaan mengundur sejauh 700 meter ke belakang sebelum melanggar pembahagi jalan dan terhenti di lorong kanan,” katanya.
Dalam kejadian itu katanya, dua lelaki masing-masing berusia 31 dan 48 tahun yang memandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
“12 penumpang lain bas ekspes yang tidak cedera meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas ganti. Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.