Operasi SAR yang dijalankan hari ini. – Ihsan Bomba
BELURAN: Seorang lelaki hilang di sini sejak petang kelmarin dipercayai dibaham seekor buaya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, PPgB Edoen Macheal berkata, kejadian berlaku di Sungai Rawog, Ladang Linbar 2, pada sekitar jam 3 petang kelmarin.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 3.51 petang dan sepasukan empat anggota diketuai Komander Operasi, PBK II John Franchis dihantar ke lokasi.
“Setiba di lokasi sejauh 70 kilometer dari BBP itu, didapati seorang mangsa lelaki dilaporkan dibaham buaya semasa melakukan aktiviti membersihkan kawasan pagar elektrik di dalam kawasan ladang bersempadan dengan Sg. Rawog,” katanya.
Edoen berkata, kejadian berlaku apabila mangsa pergi ke tepi sungai semasa waktu rehat untuk mencuci tangan dan kaki, di mana tiba-tiba seekor buaya muncul dan menyerang sebelum mengheret mangsa ke dalam sungai.
“Mangsa, Rudi Amiruddin, 28, sempat menjerit meminta tolong namun tidak dapat dibantu oleh kawan mangsa yang juga sama-sama bekerja di kawasan tersebut,” tambahnya.
Turut serta dalam operasi mencari dan penyelamat (SAR) ialah lima anggota polis, empat anggota polis bantuan dan enam anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
SAR hari kedua hari ini bersama agensi lain dimulakan pada jam 1 petang dengan radius satu kilometer di sekitar lokasi kejadian (tiada litupan GIRN).
Usaha pencarian dijalankan sehingga jam 5 petang tadi tetapi masih belum menemukan mangsa.
Operasi SAR akan disambung esok.































