Vie (kedua kiri) bersama rakan-rakannya sebelum bergerak memberikan makanan dan minuman kepada mereka yang kurang bernasib baik di sekitar Kota Kinabalu
Kepuasan dalam beramal adalah pengertian yang menjadi pegangan seorang penggiat kemasyarakatan, Sylviana Viana Saiki atau Vie Jimmy dalam menjalankan khidmat kemanusiaanya terhadap golongan yang kurang bernasib baik.
“Secara jujurnya, bukan semua individu sanggup melakukan sesuatu yang tidak menjanjikan pulangan yang besar atau menguntungkan apatah lagi sekiranya ia dibuat secara sukarela seperti kerja-kerja amal.
“Di sebalik pujian ada juga suara-suara sumbang yang memandang serong kerja amal ini,” katanya.
Namun demikian, baru-baru ini pada cuti umum Hari Wesak iaitu 4 May, sekali lagi Vie bersama rakan-rakan beliau melakukan kerja amal dengan berkongsi rezeki dengan gelandangan sekitar ibukota.
Ini termasuk juga orang-orang kampung yang sedang tidur merata tempat di sekitar kawasan hospital kerajaan di Kota Kinabalu akibat kewangan yang terhad sambil menunggu ahli keluarga yang sakit dan dimasukkan ke hospital.
Niat beliau bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi sekadar berkongsi rezeki dengan insan yang kurang bernasib baik tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.
“Ini merupakan satu kepuasan yang tidak terhingga dan sukar untuk diluahkan dengan kata-kata.
“Kali ini, saya fokus kepada berkongsi makanan dan minuman serta biskut raya dengan gelandangan di sekitar ibu kota dan sekitar kawasan hospital kerajaan di Kota Kinabalu.
“Apa yang saya fkirkan adalah satu sahaja iaitu memasak makanan dengan penuh kasih sayang dan ikhlas kerana ia menghubungkan jiwa sesama manusia memandangkan bulan ramadan masih lagi dirayakan,” katanya.

Salah seorang anggota kumpulan Vie meletakkan bungkusan makanan berhampiran seorang gelandangan yang sedang berbaring di bandaraya Kota Kinabalu dan Vie (kanan) menghulurkan sumbangan makanan kepada salah seorang wanita yang tinggal di jalanan.
Menurut Vie, sebanyak 100 pek makanan diedarkan, yang dimasak sendiri oleh Vie di NDV Cafe di mana beliau merupakan salah seorang pemiliknya, yang terletak di Inanam itu, Kota Kinabalu.
Manakala minuman dan biskut raya telah disumbangkan oleh rakan kerja beliau dan juga kalangan pengunjung cafénya.
Vie adalah seorang kakitangan kerajaan yang bertugas di Ranau, yang turut bergiat aktif di dalam menganjurkan bengkel-bengkel penjurian nyanyian, bengkel pemantapan vokal dan juga bengkel penulisan skrip dan lakonan.
Beliau juga berada di bawah naungan Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA) dan juga Kelab Rekreasi Artis Sabah (KERAS) selain merupakan Ketua Biro Kebajikan Kelab KupiKupi FM 96.3 Fm.
Kerja-kerja amal ini, katanya sudah lama sebati di dalam dirinya.
Sejak dirinya masih kecil keluarganya suka memberi makan dan memberi tumpangan kepada gelandangan dan orang kampung yang berasal daripada pedalaman yang tidak mempunyai tempat tinggal dan mempunyai masalah kewangan tanpa mengira bangsa, latar belakang dan juga agama sehingga kini.
“Walaupun keluarga saya bukanlah dari kalangan keluarga yang senang namun niat dan sikap kedua orang tua yang suka membantu dan berkongsi rezeki secara tidak langsung diwarisi dan menjadi kebiasaan saya sehingga kini.
“Saya pasti akan mencari ruang dan peluang untuk melakukan kerja amal pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya.
Berkongsi pengalaman sewaktu mengedarkan pek makanan dan minuman kepada gelandangan dan individu di sekitar ibukota dan juga sekitar hospital kerajaan di Kota Kinabalu, ada seorang gelandangan perempuan yang berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada beliau sewaktu beliau menghulurkan pek makanan dan minuman kepada gelandangan perempuan tersebut.
Tetapi beliau tetap meletakkan pek makanan berdekatan dengan gelandangan itu.
Selebihnya semua menunjukkan rasa terkejut dan mengucapkan ribuan terima kasih kerana dapat pek makanan secara percuma buat pengalas perut pada masa itu.
“Hati begitu tersentuh dan rasa puas apabila melihat raut wajah pada setiap gelandangan dan orang-orang kampung yang tidur berselerakan di sekitar dalam dan luar perkarangan hospital kerajaan di ibu kota.
“Mereka begitu teruja menerima pek makanan percuma dan makan dengan penuh berselera sekali,” katanya.
Vie dibantu oleh Andy Tan, salah seorang pengusaha salon yang terletak di Centre Point Sabah (CPS), Kota Kinabalu dan juga rakan-rakan beliau yang lain dalam misi mengedarkan pek makanan dan minuman percuma ini.
Walaupun sumbangan ini amat kecil tetapi beliau amat berharap agar lebih ramai lagi individu-individu di luar sana yang akan tampil dan turut sama melakukan kerja-kerja amal atau apa saja aktiviti kemasyaraktan.
“Untuk melakukan kerja amal dan berkongsi rezeki dengan insan yang memerlukan, kita tidak perlu tunggu kita kaya tetapi asal kita punya niat yang ikhlas kita pasti boleh melakukannya pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
“Dan untuk melakukan kerja-kerja amal tidak semestinya secara besar tetapi boleh dimulakan daripada cara yang sederhana,” katanya.
Tambah Vie lagi, misi seterusnya yang belum terlaksana adalah membantu mengumpul dana untuk pembinaan Pusat Penempatan OKU dan Anak Yatim di daerah Tuaran (Bakti Harapan).
Beliau amat berharap agar mana-mana pihak tidak kira kerajaan, swasta mahupun orang perseorangan dapat tampil ke hadapan bagi membantu misi ini.
Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan beliau di nombor 0189658166.































