Tangkap layar dua orang wanita warga asing dipercayai melakukan aktiviti meminta wang atau mengutip sedekah di sebuah kawasan Genting Highlands di Bentong, Pahang
BENTONG: Polis daerah ini menggagalkan kegiatan meminta wang atau mengutip sedekah serta mengganggu ketenteraman orang awam apabila menahan empat wanita warga asing berusia 30 hingga 34 tahun di Genting Highlands di sini.
Penahanan empat wanita terbabit berikutan penularan video berdurasi 23 saat oleh pemilik akaun Facebook “Penang Kia, Penang Kia” Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis daerah, Superitenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis mendapati aktiviti mengutip sedekah oleh empat wanita berkenaan berlaku di kawasan peranginan tanah tinggi itu sejak 5 Mei lalu.
“Cara memperoleh wang orang ramai dilakukan mereka dengan kaedah memujuk dan merayu orang ramai di kawasan Hotel First World dan Genting Malaysia Berhad,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.
Menurut Zaiham, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong akan menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 27(c) akta Kesalahan Kecil 1955 (Peminta-peminta sedekah).
“Sesiapa yang meminta sedekah di tempat awam dan boleh mencari pekerjaan sah untuk hidup, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 atau penjara sehingga satu bulan atau kedua-keduanya,” katanya.
Ujarnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes ini dalam siasatan pihak polis.





























