James (dua kiri) menumbuk padi sebagai salah satu simbolik perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Lahad Datu.
LAHAD DATU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib menyokong cadangan untuk menaik taraf Lahad Datu sebagai Majlis Perbandaran.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat itu berharap hasrat ini akan dapat dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri berdasarkan beberpa kriteria atau justifkasi sedia ada di daerah ini.
Cadangan itu dibawa oleh Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen Benetty Mohd. Dzul
Selain itu, James turut mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya Daerah Lahad Datu dipilih sebagai Tuan Rumah Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024.
Berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Lahad Datu yang diadakan di Dewan Sri Perdana di sini hari ini, James mengajak masyarakat yang bukan suku kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) supaya membuang tanggapan atau stigma bahawa perayaan Pesta Kaamatan hanyalah untuk etnik KDMR sahaja.
“Daerah Lahad Datu adalah antara daerah di negeri ini yang mempunyai keunikan tersendiri dengan etnik orang asal KDMR seperti Dusun Segamo, Dusun Subpan, Idahan dan Dusun Begak.
“Saya percaya melalui perayaan Pesta Kaamatan, kita berupaya memperkukuhkan dan memantapkan lagi semangat perpaduan, persaudaraan dan kekitaan dalam kalangan rakyat pelbagai suku, kaum dan budaya di Negeri Di bawah Bayu yang kita cintai ini,” katanya.

James yang juga ADUN Sugut berkata, Pesta Kaamatan adalah manifestasi keharmonian dan semangat muhibah masyarakat di negara ini untuk hidup aman damai dan bersatu padu walaupun terdiri daripada berbilang kaum, bangsa, agama dan kepercayaan.
“Kerajaan Negeri sentiasa menyambut baik dan mengalu-alukan penganjuran perayaan seumpama ini.
“Tentunya pesta ini akan dapat mengukuhkan lagi toleransi dan semangat kekitaan yang telah terjalin di negeri ini seterusnya menggembleng matlamat membina masyarakat Malaysia yang penyayang,” ujarnya.
Justeru, tambahnya, tema Kaamatan pada tahun ini, ‘Kaamatan Membudayakan Perpaduan’ adalah tepat pada masanya kerana ia mencetus satu transformasi ke arah masyarakat berbilang kaum yang penyayang dan saling hormat-menghormati.
Menurut James lagi, Pesta Kaamatan kini sudah diiktiraf sebagai perayaan nasional kerana sambutannya turut diraikan melangkaui batasan etnik dan agama sekaligus mencerminkan konsep ‘Malaysia Madani’ yang telah diilhamkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
“Kerajaan Negeri pada hari ini di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, sentiasa komited untuk meningkatkan lagi taraf sosioekonomi rakyat dengan memacu pembangunan di seluruh pelosok negeri termasuklah di daerah Lahad Datu, melalui pelaksanaan pelbagai dasar dan agenda,” kata beliau.
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh jawatankuasa penganjur yang dipengerusikan Firuz kerana berjaya menganjurkan Pesta Kaamatan pada kali ini.































