Kanak-kanak menikmati masa mereka di Sungai Perancangan.
RANAU: Cuaca panas dan lembap yang berrterusan menyebabkan ramai orang berkunjung ke sungai dan taman air untuk menikmati aktiviti segar dan meriah, sambil menyejukkan badan.
Tinjauan menunjukkan ramai membawa keluarga tersayang atau rakan untuk menghabiskan masa di sungai atau taman air berhampiran seperti di Torasanc, Sungai Perancangan, Mata Air Panas Poring dan banyak lagi.
Di sungai Kampung Perancangan, orang ramai dari dalam mahupun luar daerah datang berpusu-pusu untuk menikmati tebing sungai yang seakan pantai yang putih dan berpasir di bawah teduhan pepohonan.
Seorang penduduk tempatan, Sofia Miting berkata, orang ramai suka datang ke sini kerana buat masa ini tiada bayaran masuk dikenakan dan sesiapa sahaja boleh datang menikmati alam semulajadi di sini.
“Pada musim cuti, kebiasaannya ramai orang dari luar juga akan datang ke sini, jadi bergantung pada nasib jika dapat mencari tempat letak kereta dan tempat berkelah di sini kerana pengunjung memang ramai.
“Setakat ini, mereka yang ingin berendam di sungai serta berkelah bersama keluarga dialu-alukan. Kadangkala perkhemahan juga boleh diaturkan di sini dengan kebenaran Ketua Kampung atau pemimpin lain.

Kanak-kanak berenang di Sungai Madsangoh, Torasanc.
“Tetapi berhati-hati dengan keselamatan diri sendiri ketika mandi di sungai kerana tiada penyelamat di sini. Semuanya terpulang kepada pengunjung sendiri untuk menjaga ahli kumpulan mereka,” katanya.
Beliau berkata, aktiviti selamat dibenarkan di sini, tetapi pengunjung mesti menjaga alam sekitar, menjaga kebersihan dengan membawa pulang sampah mereka sendiri dan tidak meninggalkannya di sini.
Selain itu, beliau turut memberi amaran bahawa mereka yang datang ke sini hanya dibenarkan untuk beriadah dan tidak mengangkut pasir dari tebing sungai kerana ia akan mengganggu keindahan alam semula jadi di kawasan itu.
Satu lagi sungai yang menjadi tarikan di sini ialah Sungai Madsangoh yang jernih yang mengalir di sebelah denai Kolonial British lama yang dibina pada awal 1900-an yang membentuk taman rahsia bernama Torasanc.
Terletak di Kg. Tontolob Liwan di jalan Ranau–Tambunan, kira-kira 20 kilometer dari Pekan Ranau dan kira-kira 150 kilometer dari Kota Kinabalu, Torasanc juga merupakan kawasan mempersonakan di mana bunga Rafflesia mekar dan Orkid liar tumbuh subur.
Tempat ini sering dikunjungi oleh para pekhemah atau penggemar aktiviti luar dan menerima kedatangan ramai pengunjung terutama ketika cuaca panas dan lembap.

Seorang kanak-kanak menikmati masanya di dalam tab mandi di Mata Air Panas Poring.
Penjaga Torasanc, Paulus Gisil berkata, kanak-kanak suka datang ke sini dan berendam di Sungai Madsangoh memandangkan kesegaran sungai terlindung atau ‘Tagal’ itu.
“Antara aktiviti yang biasa dilakukan orang di sini sambil melakukan aktiviti lain seperti berkhemah dan mandi sungai, ialah menuruti jejak sejarah British dan melihat Rafflesia Keithii secara langsung.
“Pengunjung di sini juga diminta menjaga kebersihan dan keindahan semula jadi tempat ini, selain bayaran masuk juga murah dan sangat berpatutan,” katanya.
Sementara itu, ramai juga memilih untuk meluangkan masa berendam di kolam di Kolam Air Panas Poring sambil menikmati masa bersama rakan atau keluarga.
Bagi seorang pengunjung pusat itu, Surinah Shahrin, perasaan teruja dan lega dirasai setelah sekian lama tidak berkesempatan ke sini, kerana pengunjung sentiasa sesak dan penuh.
“Kunjungan saya ke sini bersama anak-anak memang menyenangkan dan menyegarkan, lebih-lebih lagi menjauhkan diri daripada keadaan panas yang berlaku di daerah ini. Ini adalah tempat yang sangat disyorkan untuk pengunjung lain.
“Tetapi satu perkara yang perlu diingat ialah datang ke sini seawal mungkin kerana kebiasaannya tempat itu akan sesak dengan pelancong dan kadangkala perlu menunggu giliran untuk mendapat kolam,” katanya.
Memandangkan cuaca panas terus berterusan di seluruh negeri, aktiviti air menjadi hobi kegemaran ramai, tetapi orang ramai dinasihatkan untuk melakukan aktiviti tersebut atas risiko sendiri.
Bagi tujuan itu, isu keselamatan juga mesti diambil berat untuk mengelakkan percutian yang menyeronokkan dan gembira bersama orang tersayang bertukar menjadi kemalangan yang membawa musibah.































