Suspek ditahan polis atas dakwaan merakam wanita buang air kecil di stesen minyak di Ranau.
RANAU: Seorang wanita mendakwa telah diintai oleh seorang lelaki menggunakan kamera telefon bimbit ketika sedang membuang air kecil di tandas awam dekat sini baru-baru ini.
Kejadian itu didakwa berlaku di sebuah stesen minyak Petronas berdekatan dengan Pekan Ranau Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, pengadu melaporkan dia dan suaminya yang dalam perjalanan ke Kota Kinabalu telah singgah sebentar di stesen minyak berkenaan untuk berehat dan menggunakan tandas.
“Menurut pengadu, ketika sedang membuang air kecil, pengadu tersedar ada pergerakan mencurigakan di bahagian atas dinding tandas dan terkesan sebuah telefon bimbit sedang membuat rakaman terhadap pengadu,” katanya.

Simiun Lomudin
Simiun menambah, pengadu kemudiannya telah bergegas keluar dari tandas dan telah mengenalpasti lelaki disyaki melakukan rakaman tersebut.
“Dengan bantuan suami pengadu, lelaki berkenaan telah dibawa ke Balai Polis Ranau dan diserahkan kepada pihak polis sementara pengadu membuat laporan berkaitan kejadian tersebut.
“Ekoran kejadian tersebut dan berdasarkan laporan yang dibuat pengadu, pihak Polis Ranau telah membuka kertas siasatan dan menangkap semula lelaki tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan/Seksyen 8 (1) (e) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Sehubungan dengan itu, Simiun menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan kes-kes sedemikian yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral.
Beliau meminta orang ramai agar sentiasa membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat yang berkaitan dengan kejadian jenayah, kemalangan jalan raya atau apa-apa kejadian melibatkan salah laku kepada pihak polis dengan kadar segera.





























