Kong Soon Choi
RANAU: Keselamatan yang terjamin di seluruh negeri Sabah selama ini membolehkan pelbagai lapisan masyarakat menjalani kehidupan seharian yang selesa sambil mencari rezeki termasuk mereka yang bekerja di perairan seperti nelayan.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan), Kong Soon Choi berkata, nelayan sentiasa berasa selamat menjalankan aktiviti di sekitar laut atau sungai di perairan Sabah.
Beliau menyifatkan keselamatan itu tidak lain hasil daripada kecekapan serta dedikasi seluruh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertungkus-lumus dalam memastikan keselamatan negara.
“Tahniah kepada semua anggota polis kita. Sudah tentu dengan jaminan seperti ini dapat membantu memacu ke arah peningkatan ekonomi negeri Sabah dan negara Malaysia secara amnya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Sementara itu Kong yang juga Ketua Pergerakan Exco Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR) mengucapkan tahniah kepada Pesuruhjaya Polis, Datuk Jauteh Dikun atas pelantikannya sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu.

Jauteh Dikun
Katanya, beliau bersama seluruh pucuk pimpinan dan anggota Exco Wiramuda parti berbangga dengan pelantikan anak jati Sabah menerajui PDRM di negeri ini.
“Kita yakin Jauteh yang merupakan anak jati kelahiran Ranau, mampu menjalankan tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dengan cemerlang demi keselamatan negeri dan rakyat Sabah.
“Pihak kami juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM Sabah dalam memastikan keselamatan sejagat sentiasa terjamin demi kebaikan bersama serta keamanan dan keharmonian negara ini,” katanya.
Jauteh, 57, yang sebelum ini merupakan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah menerima watikah pelantikan sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Hj Abdullah Sani yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Beliau menggantikan Datuk Idris Abdullah yang bersara wajib pada 31 Mac lalu dan merupakan Pegawai Kanan Polis suku Dusun Ranau pertama yang memegang jawatan tertinggi dalam Polis Kontinjen Sabah.
Jauteh menyertai pasukan polis sebagai Asisten Superintendan pada tahun 1994 dan seterusnya memegang beberapa jawatan tinggi di pelbagai jabatan seperti Ketua Polis Daerah (OCPD) Kota Belud dari 1997 hingga 2001.
Beliau merupakan bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sabah (2005-2008/2011-2012) dan; bekas ketua unit jenayah insurans di Bukit Aman (2010-2011).
Beliau juga adalah bekas OCPD Kota Kinabalu (2012) berpangkat Asisten Komisioner sebelum dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri (2018-2021).
Beliau menjadi Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dari 2021 hingga 2023.





























