Fairuz (duduk, tengah) bersama ahli Majlis Tertinggi, Majlis Eksekutif dan Penyelaras Zon.
KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) hari ini mengumumkan penubuhan Skuad GAHMUDA, sebuah pasukan sukarela yang menjadi platform kepada para penggerak pemuda dan penyokongnya serta anak muda bagi menyumbang buah fikiran, tenaga dan masa mencakupi isu kebajikan rakyat, bencana alam, kemalangan, malapetaka dan seumpamanya.
Ia diumumkan oleh Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Fairuz Renddan, yang mengalu-alukan kebersamaan anak muda bagi sama-sama menyemarakkan semangat kesukarelawanan melalui wadah GAHMUDA.
GAHMUDA yang setakat ini menerima lebih 300 borang penyertaan dijangka dilancarkan hujung tahun ini, katanya.


Fairuz juga menyatakan komitmen Pemuda Gagasan Rakyat untuk sentiasa memperjuangkan isu-isu anak muda Sabah bagi memastikan golongan ini akan sentiasa terbela dan terjaga haknya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat kali pertama di Ibu Pejabat parti di Alamesra, di sini, petang ini.
Terdahulu, beliau turut mengumumkan senarai jawatankuasanya yang menggabungkan pemimpin muda daripada pelbagai latar belakang selaras dengan falsafah perjuangan Gagasan Rakyat.
Beliau berkata, Azrul Ibrahim dilantik sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat berdasarkan pengalaman serta kebolehan beliau menerajui beberapa organisasi termasuk pernah menjadi pemimpin mahasiswa dan Ahli Parlimen Belia Malaysia sebelum ini.
Turut diumumkan pelantikan Khazarudin Kahar sebagai Penolong Setiausaha, Mohammad Ghazali Hajiji selaku Penolong Bendahari dan Barhul Sahibu sebagai Ketua Penerangan selain barisan EXCO.





























