Mangsa dibawa keluar daripada rumahnya untuk dibawa ke hospital. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Pasukan bomba terpaksa dipanggil untuk membantu mengangkat keluar seorang lelaki yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumahnya di sini untuk dibawa ke hospital malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu berkata, kejadian itu berlaku di rumah mangsa yang terletak di Taman Berhwemin, Jalan Pahlawan, pada jam 9.44 malam.
“Sepasukan empat anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mohd. Zulfadli Usman dikejarkan ke lokasi selepas kita menerima panggilan menerusi talian MERS999 dari pihak hospital yang memohon bantuan mengangkat mangsa.
“Setiba di tempat kejadian sejauh lima kilometer dari BBP itu, didapati seorang mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam rumahnya.
“Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa yang seterusnya dihantar ke Wad Kecemasan, Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurut Ordine, setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 11.21 malam.





























