Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama empat mangsa (tengah) yang ditemui selamat. – Ihsan Bomba
KUALA PENYU: Empat lelaki yang sesat ketika mencari lokasi tanah untuk dijual telah berjaya ditemui oleh pihak bomba hari ini.
Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, PPgB Awang Mohd. Sabree berkata, kejadian berlaku di Kampung Berangkok, di sini, petang tadi.
“Panggilan kecemasan berhubung kejadian ini diterima pada jam 3.48 petang dan sepasukan enam anggota bomba diketuai Komander Operasi, PBK II Ak. Mohd. Rafie Pg. Baha dihantar ke lokasi.
“Setiba di lokasi 17 kilometer dari BBP itu, didapati terdapat empat orang mangsa lelaki berumur 25 hingga 66 tahun telah sesat dari jam 9 pagi di dalam hutan semasa mencari lokasi tanah untuk dijual.
“Pasukan bomba menggunakan bunyi siren untuk memanggil mangsa dan seterusnya menjumpai mangsa selamat tiga kilometer daripada lokasi mereka dilaporkan hilang,” katanya.
Katanya, setelah memastikan tiada bahaya lain operasi ditamatkan pada jam 5.37 petang.





























