Ramai pengunjung mengambil kesempatan mandi di pantai Teluk Chempedak sempena cuti Aidilfitri ini.
KUANTAN: Dua beranak nyaris maut dipukul ombak ketika mandi di Pantai Teluk Chempedak, dekat sini, petang Isnin.
Mangsa berusia 35 tahun dan anaknya berusia 10 tahun itu berjaya diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sedang bertugas di situ.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang Isnin, mereka (mangsa) mengambil peluang cuti panjang sempena Aidilfitri untuk mandi dan beriadah di pantai berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Pegawai APM Kuantan, Shaiful Nizam Ab Rahman berkata, anggota APM yang bertugas telah dimaklumkan oleh orang awam yang ternampak kejadian tersebut.
“Anggota kami segera memberikan bantuan dengan menggunakan bot penyelamat dan pelampung keselamatan. Berdasarkan maklumat awal, dua beranak itu merupakan warga Kemboja dan menetap di Temerloh, telah datang ke Kuantan untuk bercuti,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu katanya, susulan daripada kejadian pihaknya sudah memasang bendera merah di sepanjang pantai itu sebagai amaran kepada pengunjung.
Tambah beliau, lebih ramai pengunjung dijangka mengunjungi pantai-pantai di sekitar bandar raya sehingga hujung minggu ini.
“Kita sudah buat segala persiapan termasuk memasang bendera amaran, jadi terpulang kepada sikap pengunjung itu sendiri untuk menjaga keselamatan mereka. Bagi APM, kita menempatkan sekurang-kurangnya lima anggota di setiap lokasi tumpuan orang ramai sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.





























