Pasukan bomba ketika memadamkan kebakaran yang memusnahkan kontena tempat mengecat kereta dan sebuah kereta didalamnya. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Sebuah kereta dan kontena tempat mengecat kereta musnah terbakar di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, kejadian berlaku di Jalan Tuaran Bypass, Kampung Dambai, Manggatal,, pada kira-kira jam 10 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 10.07 pagi dan sepasukan sembilan anggota diketuai Pegawai Operasi, PBK II (KUP) Alcoponcos Justin bergegas ke lokasi.
“Setiba ditempat kejadian yang terletak 14 kilometer dari BBP itu, didapati satu kebakaran melibatkan sebuah kontena tempat mengecat kereta terbakar 100 peratus.
“Turut musnah sebuah kenderaan jenis Perodua Axia yang berada di dalam kontena yang turut terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula. Pemeriksaan turut dijalankan bagi memastikan tidak ada bahaya lain,” katanya.
Tiada mangsa terlibat dilaporkan, katanya sambil menambah, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.33 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.40 pagi.





























