Zainudin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil SMK Pengalat Papar sambil disaksikan Arifin (dua dari kiri) dan Harun (dua dari kanan).
KOTA KINABALU : Sebanyak 12 buah sekolah terpilih menerima sumbangan bagi memperkasakan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sumbangan itu bertujuan untuk membantu Program Menaik taraf Makmal Sains bagi sekolah menengah dan penubuhan Sudut Sains untuk sekolah rendah di negeri ini.
“Pada tahun ini, sebanyak 30 sekolah terpilih menerima sumbangan menerusi program yang berjumlah RM20 ribu setiap satu bagi tujuan tersebut.”Adalah diharapkan objektif KSTI dalam mendekatkan para pelajar meminati subjek Sains, Teknologi dan Matematik tercapai menerusi bantuan ini,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Ihya Ramadan KSTI di Wisma Bandaraya dekat sini, pada Isnin.
Pada majlis itu, Arifin menyampaikan sumbangan RM20 ribu masing-masing kepada 12 buah sekolah antaranya, SMK Membakut, SMK Membakut II, SMK St Patrick Membakut, SMK Pengalat Papar, SMK Tenghilan Tuaran, SMK Putatan, Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, SK Saga-Saga Membakut, SK Kg. Bambangan Membakut, SK Pekan Membakut, SK Pomotodon Inanam dan SRK Sacred Heart Kota Kinabalu.
Dalam majlis sama, Arifin turut menyaksikan penyampaian sumbangan RM100 ribu bagi Program PitchBorneo 2023 KSTI daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Awang Faisal Assyiffa Awang Rahim kepada Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Zainudin Aman.
Turut menerima sumbangan dari PBNS adalah Masjid USIA Bandar Kota Kinabalu dan Pusat Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah Kota Kinabalu.
Hadri sama, Pembantu Menteri KSTI, Datuk Harun Durabi; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar; Pengerusi PBNS, Datuk Dr Omar Raisul As Salam Syah Datuk Sulaiman Omar; Pengerusi Sabah Net Sdn Bhd, Datuk Azaman Ruslan serta Timbalan Yang DiPertua MUIS, Malai Ali Malai Ahmad.



























