Anthony Loke Siew Fook
PETALING JAYA: Tiket penerbangan sehala Kuala Lumpur (KL) ke Tawau, Sabah yang dikatakan mencecah RM3,138 bukannya untuk kelas ekonomi tetapi perniagaan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook juga menepis dakwaan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong bahawa tiket itu berharga RM3,138 sebaliknya ialah RM2,863.40.
Katanya, beliau telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB), Kapten Izham Ismail yang mengesahkan semua tiket kelas ekonomi untuk penerbangan KL-Tawau pada hari tersebut telah habis dijual dan tiket yang tinggal hanyalah Kelas perniagaan.
“Beliau juga mengesahkan harga tiket tersebut bukan untuk kelas ekonomi tetapi ialah kelas perniagaan dan harga tiket tersebut ialah RM2,863.40 dan bukannya RM3,138.
“Ini fakta yang perlu diperbetulkan. Sebagai mantan Menteri Pengangkutan, saya yakin YB Wee (Ka Siong) faham perbezaan antara tiket kelas perniagaan dan kelas ekonomi.
“Namun begitu, saya mengucapkan terima kasih kepada beliau di atas keprihatinan terhadap isu tiket penerbangan yang tinggi dan pandangan mengenai tambahan kapasiti,” katanya dalam Facebook beliau.





























