Anggota forensik polis sedang menjalankan siasatan di rumah mangsa di Kampung Beris Panchor, Bachok, Kelantan
BACHOK: Seorang ibu yang sedang dalam tempoh berpantang ditemukan mati selepas dipercayai menikam lehernya sendiri menggunakan sebilah pisau di dalam sebuah bilik di rumahnya di Kampung Beris Panchor di sini petang kelmarin.
Kejadian disedari adik bongsu wanita itu, Wan Muhamad Nasri Wan Mahadi, 23, kira-kira pukul 6 petang selepas mendapati kakaknya yang berusia 35 tahun mengunci pintu bilik dari dalam.
Wan Muhamad Nasri berkata, dia terus mengambil tangga untuk melihat kakaknya di dalam bilik itu sebelum terkejut apabila ternampak wanita tersebut sudah berada dalam keadaan berlumuran darah.
Menurutnya, dia tidak berfikir panjang dan terus memecahkan pintu bilik berkenaan sebelum melihat sebilah pisau terpacak pada lehernya.
“Ketika itu, ibu saya sedang mendukung anak kakak yang baru berusia 36 hari. Kami berdua terkejut apabila melihat keadaan kakak yang sudah berlumuran darah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Sementara itu, ibu mangsa, Zuraizah Mat, 58, memberitahu, dia sempat melihat mangsa mengambil pisau di dapur dan masuk ke dalam biliknya.
Katanya, sebelum kejadian, arwah dikatakan sedang berbual dengan suaminya yang bertugas di Kedah menerusi panggilan telefon.





























