Janih (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Mini Kiulu Peris Gonsingul sambil disaksikan George (kiri), Jamadi Gimus dan Roslan Awang.
TUARAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kiulu bersetuju menyumbang dana kepada Persatuan Pengusaha Bas Mini Kiulu bagi menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk di Kiulu selama dua tahun mulai 2023.
Perkhidmatan percuma itu tersedia setiap Selasa dan Rabu yang akan memberi manfaat kepada petani yang membawa hasil tani untuk dijual di Tamu mingguan di Kiulu (Selasa) dan Tamparuli (Rabu).
Sementara itu, mesyuarat pertama Gagasan Rakyat Kiulu pada Ahad lalu (9 April) menyaksikan Janih Bangud dipilih sebagai pengerusi, George Teo (timbalan pengerusi), Jammery Yunin (naib pengerusi), Dohudi @ Jamadi Gimus (setiausaha), Ustaz Roslan Awang (ketua Penerangan), Saitin Bangkok (Ketua Wanita), Larry Jeffson (Ketua Pemuda) dan Eva Clayrista Argisclye (Ketua Beliawanis).
Menurut Janih, 25 ahli jawatankuasa juga telah dilantik dan 93 cawangan telah ditubuhkan bagi mendapatkan kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Dalam mesyuarat itu, Janih mengingatkan ahli Gagasan Rakyat supaya terus menyokong kepimpinan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau daripada Pakatan Harapan dan Adun Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai dari PBS/GRS.
Ini bagi memastikan rakyat di Kiulu akan terus mendapat manfaat dari segi pembangunan dan ekonomi, kata Janih, sambil menambah ini juga sebahagian daripada perutusan yang disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang juga presiden Gagasan Rakyat semasa persidangan perwakilan bulan lepas.





























