Saadiah Senawi ditemukan dalam keadaan selamat selepas dipercayai hilang sejak Khamis lalu di Kampung Desa Jaya, Mukim Jeneri, Sik
SIK: Misteri kehilangan seorang warga emas selama 40 jam akhirnya terjawab apabila dia ditemukan dalam keadaan selamat walaupun kelihatan sangat letih dan kelaparan.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Pasukan Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abdul Hamid berkata, Saadiah Senawi, 87, ditemukan di tepi sebatang anak sungai pada pukul 3.35 pagi kelmarin.
“Pasukan BSYJM dengan bantuan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan dan penduduk menjalankan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) sejak Khamis lalu bagi mengesan mangsa yang dikatakan hilang dari rumahnya pada pukul 12.30 tengah hari tersebut.
“Namun, mangsa gagal dijejaki walaupun lokasi dia ditemukan berjarak hanya satu kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang dan telah beberapa kali dilalui oleh pasukan penyelamat dalam usaha pencariannya.
“Sebaik ditemukan, mangsa kelihatan tenang seperti tiada apa yang berlaku padanya dan hanya memberitahu hendak balik ke rumahnya dan mengatakan dia sejuk serta lapar kerana belum berbuka puasa lagi,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Mahdzir berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan diberikan selimut untuk menutupi badannya yang kesejukan serta sedikit minuman sebelum dikejarkan ke Hospital Daerah Sik.
Tambahnya, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan sedang menjalani pemeriksaan dan pemantauan lanjut di hospital.
Jumaat lalu, seorang warga emas dilaporkan hilang setelah didapati tiada di rumahnya di Kampung Desa Jaya, Mukim Jeneri, sejak sehari sebelum itu.
Anak mangsa, Abdul Rahim Othman berkata, ibunya didapati tiada di rumah ketika dia menghantar makanan sekitar pukul 11 pagi.
“Seperti kebiasaan, saya atau ahli keluarga yang lain akan ke rumah ibu untuk menghantar makanan kerana ibu uzur dan ingatannya kurang baik.
“Saya dapati tiada siapa di rumah ketika itu, adik kelima yang tinggal bersama ibu pula pergi kerja pada hari itu,” katanya.





























