Keadaan kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di Penampang.
PENAMPANG: Seorang wanita cedera ringan dalam satu kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di Kampung Baru, Jalan Bundusan, di sini, malam tadi.
Sepasukan anggota bersama jentera diketuai Komander Operasi, PBK II (KUP) Billy John Loutun dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 9.33 malam.
Mereka turut dibantu oleh anggota dan jentera dari BBP Limtqs dan BBP Kota Kinabalu.
Setiba di lokasi, didapati dua buah rumah jenis separuh kekal itu yang masing-masing berukuran 40×30 kaki persegi terbakar 100 peratus.
Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran 2000 kaki dua pancutan sumber air dari jentera water tanker dan pili bomba berhampiran.
Terdapat seorang mangsa, 60an, dilaporkan mengalami cedera ringan.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10. 32 malam dan setelah memastikan tiada keberbahayaan lain operasi ditamatkan pada jam 12.55 tengah malam.





























