Hajiji mengadakan perbincangan bersama Dr. Zaliha semasa menerima kunjungan hormatnya di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Zaliha Mustafa di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, di sini, hari ini.
Hajiji diberi taklimat program dan projek pembangunan kesihatan yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan di Sabah.
Hajiji mahu Menteri Kesihatan memberi keutamaan kepada Sabah dari segi agihan peruntukan pembangunan dan menaik taraf fasiliti kesihatan di Sabah.

Hajiji menerima cenderamata daripada Dr. Zaliha semasa menerima kunjungan hormatnya di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, Kota Kinabalu, hari ini.
Katanya, Sabah merupakan antara negeri yang mempunyai jumlah hospital dan klinik kesihatan yang terbanyak di negara ini, dan kebanyakannya dalam keadaan usang dan daif.
“Justeru, Sabah amat memerlukan agihan peruntukan pembangunan yang saksama dan lebih besar berbanding negeri-negeri lain, termasuk untuk pembinaan baharu dan menaik taraf infrastruktur dan fasiliti kesihatan sedia ada di negeri ini,” tegasnya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Rose Nani Mudin.





























