Zaliha sempat meninjau kawasan bangunan Hospital Papar yang dikategorikan sebagai Projek Sakit.
PAPAR: Projek menaik taraf Hospital Papar dijangka siap penghujung tahun ini.
Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Zaliha Mustafa berkata, projek tersebut telah diluluskan sejak 23 Mei 2017 yang melibatkan kos sebanyak RM 98.5 juta.
“Projek naik taraf hospital Papar ini adalah bukti bahawa kerajaan sentiasa komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat di Sabah khususnya Papar.
“Oleh itu, dengan terbinanya bangunan baharu Hospital Papar ini akan dapat membantu lebih 100 ribu penduduk di daerah Papar serta kawasan sekitar bagi mendapatkan rawatan dan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan lebih selesa.
“Projek ini juga akan melibatkan pembinaan wad dengan pertambahan 84 katil yang merangkumi wad pediatrik, wad wanita dan wad lelaki menjadikan keseluruhan kapasiti katil bagi Hospital Papar akan meningkat kepada 161 katil apabila projek ini siap.
“Selain itu, perkhidmatan yang bakal disediakan kepada pesakit termasuk Kecemasan dan Trauma, Pengimejan (X-Ray), Farmasi Satelit, Dewan Pembedahan dan jabatan-jabatan serta perkhidmatan lain yang berkaitan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Naik Taraf Hospital Papar di sini, pada Sabtu.
Beliau memaklumkan projek berkenaan sebelum ini tertangguh selama tiga tahun akibat pandemik Covid-19 dan beberapa faktor lain yang dikenal pasti seperti penyediaan pekerja oleh kontraktor dan masalah kekurangan bahan.
“Walau bagaimanapun, proses naik taraf hospital yang disambung semula kini berada pada tahap 62 peratus siap dan dijangka beroperasi mulai Mac tahun depan,” tambahnya.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin.
Selain Hospital Papar, Dr. Zaliha turut mengadakan lawatan kerja rasmi ke Klinik Kesihatan Luyang, Klinik Kesihatan Kinarut dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (Likas).





























