Pasukan EMRS Bomba memberikan bantuan awal kepada seorang daripada mangsa. – Ihsan Bomba
KENINGAU: Dua orang cedera apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sendiri di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Sharudy Delamin berkata, kejadian berlaku di Pangas Ulu, di sini, pada jam 2 petang.
Menurutnya, panggilan diterima menerusi talian balai mengenai kejadian dan sepasukan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Raizaain Awang Damit dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 21 kilometer dari BBP itu, didapati sebuah kenderaan jenis Nissan Navara telah terbabas sendiri ke bahu jalan.
“Terdapat dua mangsa cedera iaitu wanita berumur 47 tahun dan lelaki berumur 59 tahun yang berada di luar kenderaan terlibat.
“Pasukan EMRS bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum menghantar mereka ke hospital menggunakan jentera EMRS bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.13 petang, tambahnya.































