Seorang lelaki berusia 30-an ditahan polis selepas didakwa mengintai jiran wanita yang juga isteri orang dalam kejadian di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
BALIK PULAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas didakwa mengintai jiran wanita yang juga isteri orang ketika berada di dalam rumah di Kampung Seronok, Bayan Lepas di sini.
Suspek berusia lingkungan 30-an yang masih bujang itu ditahan sepasukan polis Daerah Barat Daya di kawasan kampung berkenaan sebaik sahaja menerima laporan kejadian terbabit yang dibuat suami mangsa.
Menurut Utusan Malaysia, kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya memaklumkan, hasil soal siasat mendapati perbuatan tersebut dikesan telah dilakukan beberapa kali oleh suspek.
“Suspek kini direman sehingga 6 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” demikian menurut kenyataan itu kelmarin.
Difahamkan, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu negatif sebarang pengambilan dadah.





























