Ceramah Syamsul diikuti 250 warga IPD Kota Kinabalu di Surau Fisabilillah IPD KK.
KOTA KINABALU: Dengan durasi 70 minit, ceramah agama yang disampaikan Penceramah Bebas, Ustaz Syamsul Debat berjaya mencuit hati warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Mengenengahkan tajuk, “PDRM Benteng Agama, Nusa dan Bangsa”, ceramah tersebut bukan sahaja disertai 250 orang di Surau Fisabilillah IPD Kota Kinabalu, malah lebih 1,000 penonton juga mengikutinya secara dalam talian menerusi page Facebook surau terbabit.
Yang hadir dalam program sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun itu adalah Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Zaidi Abdullah dan Timbalannya, Superintendan Kalsom Idris, Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Polis Balai, Pegawai-pegawai Kanan, Anggota Pangkat Rendah serta pegawai awam.
Pada majlis itu, Zaidi diiringi Pengerusi Surau, ASP Marzuki Mohamed menyampaikan cenderahati kepada Syamsul dan cendera kenangan kepada Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah, Superintendan Rosdi Mat Jusoh mantan Pengerusi Surau Fisabilillah.





























