Hajiji bertemu dengan pelajar-pelajar tahfiz pada majlis berbuka puasa itu.
TUARAN: Kerajaan Negeri meluluskan pelaburan berjumlah RM11.5 bilion membabitkan 89 projek yang menjana kira-kira 4,566 pekerjaan sejak penularan wabak Covid-19 sehingga tahun lepas, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
“Bagaimanapun, ini tidak termasuk projek Keluli Hijau Bersepadu bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang ditandatangani pada November 2022.
“Dengan projek Keluli Hijau ini dan pelaburan lain dalam proses pelaksanaan, Sabah akan menerima sejumlah RM33.4 bilion,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Kemajuan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) di Shangri-La’s Rasa Ria Resort, di sini, hari ini.

Hajiji menyampaikan sumbangan raya kepada para pelajar tahfiz dan anak yatimyang hadir.
Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA berkata, daripada RM11.5 bilion itu, RM9.2 bilion adalah Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan RM2.3 bilion lagi adalah pelaburan domestik.
Hajiji berkata, 72.9 peratus daripada pelaburan atau RM8.4 bilion adalah dalam sektor pembuatan, manakala RM1.6 bilion dalam sektor utama terdiri daripada pertanian, perlombongan, komoditi dan perladangan, dan sektor perkhidmatan, RM1.5 bilion.
Pelaburan ini adalah usaha terkumpul Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri (MIDE), SEDIA dan agensi berkaitan lain, katanya.
Kini SEDIA berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi secara langsung, Ketua Menteri mahu semua permohonan dan pelaksanaan projek di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) diselaraskan dengan lebih baik dengan garis masa yang ditetapkan dan semua prosedur dipatuhi.
Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancarkan oleh Kementerian Ekonomi pada 26 Feb 2023 yang akan membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan miskin tegar dan golongan berpendapatan B40 melalui program seperti Usahawan Tani (INTAN), Usahawan Makanan (INSAN) dan Operator Perkhidmatan (IKHSAN).
Kemudian, Ketua Menteri menghadiri majlis berbuka puasa bersama ahli lembaga SEDIA serta 100 anak yatim dan pelajar dari empat rumah dan pusat Tahfiz di Tuaran iaitu HOME Tuaran, Maahad Tahfiz Assohabah, Tarbiyatun Nisa, dan Pusat Tahfiz Al-Quran Ash-Shabab Al-Mardhiyah di mana beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mereka.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato Nor Azmie Diron, Peguam Besar Negeri, Nor Asiah Mohd. Yusof, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Sofian Alfian Nair, Ketua Pegawai Eksekutif SEDIA , Datuk Seri Hashim Paijan, ketua-ketua jabatan dan ahli lembaga SEDIA.





























