Dr. Joachim (duduk, tengah) bergambar bersama dengan Ahli-ahli Majlis yang telah menerima Watikah Pelantikan hari ini.
TAWAU: Ahli-ahli Majlis Daerah yang baharu bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta untuk bersama Kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, dalam hal ini, semua pihak yang terbabit perlu bersikap lebih peka dan proaktif dalam melaksanakan perancangan yang yang telah diputuskan.
“Sehubungan itu, saya berharap semua Ahli-ahli Majlis bekerjasama sebagai satu pasukan dan bertanggungjawab memastikan apa juga perancangan serta aspirasi kerajaan masa kini dapat dilaksanakan dengan telus dan berkesan.
“Mereka juga perlu lebih proaktif terutama dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan Upacara Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-ahli Majlis Daerah Lahad Datu, Semporna dan Kunak yang baharu bagi tahun 2023-2025 di Ballroom II, Borneo Royale Hotel hari ini.
Dr. Joachim berkata, Ahli-ahli Majlis perlulah melengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas bagi memudahkan mereka melaksanakan kewajipan dan merancang pembangunan.
Ini kerana pelantikan seseorang Ahli Majlis itu bertujuan membantu PBT dalam membuat dasar, merancang dan memantau pelaksanaan program pembangunan di peringkat PBT, katanya, sambil menambah Ahli Majlis juga adalah barisan hadapan sekali gus perlu memahami peranan dan fungsi selain menegakkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti awam.
“Dalam uşaha memberikan satu perubahan dalam pentadbiran dan pengurusan PBT, tugasan Ahli Majlis bukan setakat mendapatkan atau menerima aduan rakyat, tetapi dalam masa sama perlu mengamalkan turun padang, agar lebih jelas dengan masalah dihadapi penduduk setempat,” katanya.
Seramai 56 Ahli-ahli Majlis yang baharu dilantik menerima watikah pelantikan masing-masing pada majlis tersebut.
Bagi Daerah Lahad Datu jumlah Ahli Majlis yang telah dilantik seramai 20 orang manakala bagi Daerah Semporna dan Kunak masing-masing berjumlah 18 orang.
Mengucapkan tahniah kepada Ahli-ahli Majlis yang telah dilantik, Dr. Joachim percaya ini adalah pilihan yang terbaik dan gabungan pemikir yang cerdik dari tiga daerah yang pastinya mempunyai idea yang bernas ke arah memajukan kawasan nasing-masing.
“Saya dimaklumkan Ahli-ahli Majlis baharu yang dilantik ini datangnya daripada pelbagai latar belakang antaranya bekas Pegawai Daerah, pesara Jurutera, kontraktor dan juga ahli perniagaan.
“Amat bersesuaian dengan peranan mereka sebagai perantara di antara rakyat dan pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah,” katanya yang mahu tiga Majlis Daerah tersebut terus mengamalkan konsep mesra pelanggan dan sentiasa berusaha mempermudahkan urusan pelanggan.
Pastikan pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan, katanya.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri I, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlina Hj Arif; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian, Faridah Giau; Pengerusi-pengerusi bagi Majlis Daerah Lahad Datu, Majlis Daerah Semporna, dan Majlis Daerah Kunak; Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul, Alexander Liew dan Awang Mohd Yusoff; semua Pegawai-pegawai Eksekutif Majlis Daerah Lahad Datu, Semporna dan Kunak; Jackley Gielbert @ Lontou, Ali Adam Hj Hamjah dan Nazri Pintal serta semua kakitangan kementerian.





























