Bekalan ubat dijamin tidak terjejas susulan status PN17 Pharmaniaga.
PUTRAJAYA: Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA) akan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan rantaian bekalan ubat dan bukan ubat di negara ini tidak terjejas.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, jaminan itu diberikan susulan status PN17 Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) yang dikhuatiri memberi kesan ke atas pembekalan ubat tempatan.
“Ini termasuk mengenai kedudukan semasa syarikat dan perancangan memastikan pembekalan ubat dan bukan ubat kepada semua fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) tidak terganggu,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Zaliha berkata, KKM memandang serius isu dibangkitkan media berhubung status PN17 Pharmaniaga yang dikhuatiri memberi kesan ke atas pembekalan ubat dan bukan ubat tempatan.
Malah, KKM juga bimbang mengenai keupayaan Pharmaniaga untuk melunaskan bayaran kepada syarikat farmaseutikal dan syarikat peranti perubatan yang bernaung di bawahnya.
Katanya, Pharmaniaga juga memberi komitmen bahawa subsidiarinya iaitu, syarikat Pharmaniaga Logistic Sdn. Bhd. (PLSB) akan terus kukuh dan berdaya saing.
PLSB adalah syarikat konsensi yang dilantik kerajaan untuk membekalkan lebih daripada 700 produk ubat dan bukan ubat.





























