Pasukan bomba ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat. – Ihsan Bomba
SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang di laut ketika menaiki bot untuk mengubati orang sakit di pulau di sini kelmarin.
Pemangku Ketua Balai BBP Sandakan, PKPgB Jimmy Laggung berkata, kejadian itu dipercayai berlaku di Pulau Buntal, pada sekitar jam 8 pagi kelmarin.
“Panggilan berhubung kejadian itu diterima menerusi talian balai pada jam 8.51 pagi hari ini yang memaklumkan mangsa, Jamil Samson, 60an, telah keluar dari rumah waktu pagi kelmarin menggunakan bot untuk pergi mengubat orang sakit di Pulau Buntal, yang terletak 15 minit perjalanan melalui laut dari Kg. Semaian tempat tinggal mangsa dan belum pulang sehingga hari ini.
“Pengadu juga melaporkan bot mangsa dijumpai sekitar jam 6 petang kelmarin namun mangsa tiada dan terdapat kesan tompokan darah,” katanya.
Jimmy berkata, sepasukan tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Alan Ayuh telah dihantar ke lokasi.
Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui.































