Seorang daripada mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu yang dibawa ke hospital. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Dua orang lelaki dan seorang wanita cedera selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, kejadian berlaku di lampu isyarat Metro Town, Jalan Lintas, pada kira-kira jam 8.30 pagi.
“Panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan sembilan anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Mohd. Faizal Alias ke lokasi itu.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak tiga kilometer dari BBP, didapati satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Perodua Axia dan Perodua Kenari.
“Terdapat tiga orang mangsa terlibat dilaporkan mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba di tempat kejadian,” katanya.
Menurut Agustavia, mangsa dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 9.39 pagi.





























