Masiung (tiga dari kiri) menyaksikan cabutan undi lot dijalanKan sambil diperhatikan Flovia (dua dari kanan) dan Rosemary (kanan).
SOOK: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) menerima 41,135 permohonan untuk mendapatkan rumah kos rendah di Sabah dalam tempoh lima tahun sehingga Mac tahun ini.
Pengerusi LPPB, Datuk Masiung Banah berkata, statistik itu terlalu tinggi berbanding bilangan rumah yang telah dan sedang dilaksanakan oleh pihaknya.
“Kita kini sedang menyasarkan untuk memenuhi keperluan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah permohonan yang diterima,” katanya selepas menyempurnakan cabutan undi 32 lot rumah kos rendah di Sook, pagi semalam.
Bagaimanapun katanya, ia adalah bergantung pada jumlah peruntukan yang disalurkan daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Menurut Masiung, pihaknya kini sedang merangka garis panduan termasuk membentuk Jawatankuasa Strategik dan Pelaburan (JSP) bagi mengurangkan jumlah permintaan rumah kos rendah di Sabah.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis cabutan undi rumah kos rendah di Sook, beliau berkata, LPPB bersedia membantu memberi khidmat nasihat kepada penerima rumah yang sukar mendapat pinjaman bank.
Masiung yang juga Wakil Rakyat Kuamut berkata, setiap pemohon rumah kos rendah akan ditapis mengikut kelayakan.
Hanya mereka yang mempunyi pendapatan keluarga di bawah RM3,000 sahaja yang layak memohon rumah kos rendah yang dijual pada serendah harga RM47,000 seunit.
“Di luar sana ramai bertanya, kenapa rumah kos rendah tidak dibina di sekitar bandar. Ini kerana harga kos tanah yang tinggi di bandar tidak mampu menampung nilai harga rumah yang cukup murah,“ tambahnya.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng yang juga ADUN Tulid, Pengurus Besar LPPB, Rosmery Ahping dan Penolong Pegawai Daerah Sook, Jeffry Japar.





























