Pasukan bomba ketika memadamkan kebakaran itu. – Ihsan Bomba
RANAU: Sebuah surau sekolah pondok Tahfiz di sini musnah dalam kebakaran petang kelmarin.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian berlaku di Sekolah Pondok Tahfiz Bidayahtul Hidayah, Kampung Kundasang Lama pada kira-kira jam 4 petang.
Menurutnya, sepasukan seramai 11 anggota diketuai Komander Operasi, PBKII Becket Gumat bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 4.27 petang.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 18 kilometer dari BBP itu, didapati satu kebakaran melibatkan sebuah surau milik Sekolah Pondok Tahfiz Bidayahtul Hidayah jenis separuh kekal dengan keluasan 30x50kaki telah terbakar 80 peratus.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran 200kaki dua pancutan sumber air dari jentera bomba. Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya.
Menurut Ridwan, kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.30 petang dan operasi ditamatkan pada jam 7.27 petang.





























