Tun Juhar (tengah) bergambar kenangan bersama rombongan pengurusan KTYS yang diketuai oleh Samin (tiga dari kiri).
KOTA KINABALU: Seramai 30 pelajar Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) akan menjalani kursus persediaan ke Timur Tengah bermula April ini.
Ketua Eksekutif KTYS, Samin Ongki berkata kelompok pelajar yang terpilih menyertai kursus berkenaan adalah mereka yang cemerlang daripada beberapa buah sekolah di Sabah.
“Sebelum mereka dihantar ke Timur Tengah, mereka akan diberikan kursus selama 5 bulan di KTYS untuk memantapkan penguasaan bahasa Arab dan mempelajari budaya negara yang bakal mereka kunjungi.
“Selain itu, KTYS juga memperkenalkan Kursus Asasi selama setahun sebagai persediaan pelajar memasuki Universiti Malaysia Pahang dan ke German dalam bidang kejuruteraan masing-masing untuk tempoh dua tahun,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Samin turut menambah kini terdapat 9 pelajar dari KTYS berada di German dalam bidang kejuruteraan di bawah tajaan Yayasan Sabah dan juga kerajaan negeri.





























