RANAU: Seorang pekerja binaan terjatuh dari bumbung bangunan di Gunung Kinabalu petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian itu berlaku di tapak binaan di Kilometer 4, Gunung Kinabalu, pada kira-kira jam 2 petang.
“Panggilan kecemasan diterima menerusi talian balai pada jam 2.11 petang dan 11 anggota Mosar diketuai Komander Operasi, PBB Alex Clarence serta disertai seorang Malim Gunung dan seorang anggota Taman-Taman Sabah bergegas ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di tempat kejadian yang terletak empat kilometer dari pos mereka, didapati seorang pekerja binaan lelaki berusia 23 tahun terjatuh dari bumbung bangunan (30-40 kaki) yang sedang dalam pembinaan.
“Mangsa mengalami kecederaan tulang. Rawatan awal disediakan Pasukan Mosar bersama anggota Malim Gunung dan Taman-Taman Sabah dengan memindahkan mangsa dari lokasi mangsa terjatuh,” katanya.
Menurut Ridwan, Mosar memasang kolar serviks pada leher mangsa dan papan lapis di belakangnya kerana penyelamat mengesyaki patah tulang belakang akibat terjatuh ketika dalam keadaan duduk.
“Mangsa dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robinson dan kemudian dihantar ke Hospital Ranau menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan pada 5.45 petang, tambahnya.































