Shahelmey (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima.
KOTA KINABALU: Sebanyak 43 masjid dan surau sekitar Parlimen Putatan menerima sumbangan sempena bulan Ramadan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, sumbangan tersebut diharap dapat mengimarahkan masjid dan surau berkenaan sempena bulan Ramadan yang akan tiba.
“Hari ini saya menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan moreh berupa wang tunai berjumlah RM1,000 dan kurma kepada setiap masjid dan surau bagi kawasan parlimen Putatan.
“Saya berharap sumbangan ini akan mengimarahkan masjid dan surau tersebut pada malam-malam bulan Ramadan yang menjelang tiba,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Moreh di Dewan Masjid Daerah Putatan, kelmarin.
Antara masjid dan surau yang menerima sumbangan berupa wang tunai dan 5 kg kurma ialah Masjid Daerah Putatan, Masjid As-Sobirin Kg Sipanggil, Masjid As-Salam Kem Lok Kawi, Masjid Al-Hilal Tanjung Dumpil, Surau Nurul Huda Kg Linsuk, Surau Al-Jannah Perumahan JKR Putatan dan Surau Al Aqsah Kg Meruntum.
Turut hadir, Pegawai Daerah Putatan, Mokhtar Husin; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Ahmad Helmi Mohd Taib dan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Harris Ibrahim.































