Noorita sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim pagi tadi.
KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi DAP Sabah, Senator Noorita Sual dilantik Senator Dewan Negara setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkuatkuasa mulai hari ini hingga 20 Mac 2026.
Beliau adalah lantikan baharu yang telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim pagi tadi.
Noorita Sual, 43, berketurunan dari suku kaum murut tahol, berkelulusan sarjana muda undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga adalah bekas Ahli Parlimen Tenom dengan keputusan 8919 undi pada pilihanraya umum ke-15 bagi kerusi Pakatan Harapan (PH).
Dalam kenyataan media selepas majlis angkat sumpah itu, Noorita berkata, beliau bersyukur atas pelantikan tersebut dan terharu kerana diberi mandat sekali lagi menganggotai Parlimen Malaysia dan kali ini di Dewan Negara.
“Dengan rendah hati, saya merakamkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memperkenankan pelantikan saya.
“Dalam kesempatan ini, saya mahu berterima kasih kepada Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, Anthony Loke dan pucuk pimpinan parti serta akar umbi yang telah menaruh kepercayaan kepada saya untuk mewakili DAP diperingkat legislatif dengan berlatarbelakangkan orang asal dan wanita serta pedalaman Sabah. Saya mengharapkan semua pihak berkenaan bersama-sama dengan saya untuk berusaha lebih giat lagi dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya.
“Saya juga berbesar hati mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH yang telah memberi peluang ini kepada saya bagi memainkan peranan dan melunaskan tanggungjawab sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Noorita berkata, beliau akan memfokuskan kepada isu-isu wanita seperti perkasa hak wanita agar berani pertahankan hak mereka, meningkatkan peratus penglibatan wanita dipelbagai peringkat dan bidang, perlindungan dan kebajikan kanak-kanak dan warga emas (ini adalah kerana wanita lebih rapat kepada golongan ini dan memahami keperluan mereka), memperjuangkan hak orang asal dan penumpuan untuk membangun kawasan-kawasan pedalaman di Sabah demi mencapai matlamat kemakmuran saksama.
Terdahulu, kelihatan Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng menemui Noorita di dalam Dewan dengan memberikan sokongan moral dan ucapan tahniah sebelum upacara mengangkat sumpah sebagai Senator.





























