KUALA LUMPUR: Siri animasi popular, Mechamato melakar sejarah selepas menjadi animasi tempatan pertama yang dipilih sebagai penerima Anime Fan Award sempena Tokyo Anime Awards Fetival, baru-baru ini.
Mechamato menyingkirkan siri animasi lain untuk anugerah itu selepas diiktiraf antara siri animasi paling mendapat sambutan apabila ditayangkan di Cartoon Network Japan dan Netflix Japan.
Menurut Utusan Malaysia, Pegawai Kreatif Utama Monsta yang hadir ke majlis tersebut sambil menggayakan persalinan penuh baju Melayu melahirkan rasa syukur atas sokongan peminat terhadap siri animasi tersebut.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada peminat dari rantau Asia Pasifik yang mengundi kami.
“Kami akan terus bekerja keras untuk membawa animasi dan budaya Malaysia ke rantau lain,” katanya dalam kenyataan.
Mechamato telah dialih suara di Jepun menampilkan pelakon terkemuka seperti Ayumu Murase, Yoshitsugu Matsuoka dan ramai lagi
Dalam perkembangan sama, dia memaklumkan Mechamato musim kedua juga bakal ditayangkan di Jepun.
“Proses alih suara telah pun selesai. Dalam masa yang sama, Mechamato musim ketiga kini dalam proses pembikinan,” katanya lagi.