Dr Joachim (dua dari kiri) menerima cendera kenangan daripada Jaisan.
RANAU: Satu program belia telah dianjurkan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.36 Kundasang bersama North Borneo University College (NBUC) di Dewan Kampung Timbua, di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menyambut baik program ini. ‘Roadshow’ Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) ini diadakan bagi merekrut belia beliawanis luar bandar melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Antara lain pengisian program ialah kempen menderma darah yang dikendalikan oleh Klinik Kesihatan (KK) Kota Marudu.
Dalam ucapan perasmian, Dr. Joachim mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Kundasang, Dounis Sani, pihak kolej NBUC dan wakil kakitangan KK Kota Marudu kerana berjaya menganjurkan program ini.
“Program seperti ini merupakan satu usaha yang amat baik kerana ia dapat membantu penduduk kawasan luar bandar khususnya di sekitar DUN Kundasang.
“Saya dimaklumkan bahawa NUBC juga akan memilih seramai 30 pelajar yang layak daripada DUN Kundasang dan mereka ini akan diberikan pinjaman loan atau biasiswa. Sekiranya pihak saya sudah mendapat senarai penama berkenaan, kita akan berusaha membantu dari segi pendaftaran pertama bagi semester pertama yang berjumlah RM9,000 bagi 30 pelajar berkenaan sementara menunggu kelulusan pinjaman pendidikan/biasiswa pada semester kedua,” kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu.
IPTS ini menawarkan program dari peringkat Sijil Kemahiran, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.
Berharap pihak penganjur mencapai matlamat yang disasarkan, Dr. Joachim turut meminta pihak kolej untuk terus mengadakan lebih banyak program di seluruh kawasan dalam DUN Kundasang dan juga di kawasan lain.
Beliau berterima kasih atas sambutan belia dan beliawanis yang hadir dalam program itu.
Hadir sama ialah Naib Canselor NBUC, Prof. Madya Jaisan Julparael, wakil Unit Tabung Darah KK Kota Marudu yang juga Presiden Persatuan Talasemia Sabah, Francis Mujim; Ketua Anak Negeri, Ketua-ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung (JPKK).































