Keadaan remaja itu dengan anak panah tertusuk menembusi hidungnya. – Ihsan Bomba
RANAU: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dikejarkan ke Hospital Ranau di sini petang tadi selepas sebatang anak panah tertusuk menembusi bahagian hidungnya.
Bomba kemudiannya dipanggil untuk membantu mengalihkan anak panah itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, panggilan diterima daripada pihak hospital yang memohon bantuan melalui talian balai pada jam 4.59 petang dan dua anggota diketuai Komander Operasi, PB Hafizul Guntor Nordin dihantar ke lokasi.

“Bilik kawalan BBP Ranau menerima panggilan kecemasan daripada pihak hospital memaklumkan ada seorang remaja terlekat anak panah di hidung.
“Setiba di hospital, anggota bomba memotong anak panah itu menggunakan pemotong bolt dan mangsa kemudiannya diserahkan kepada doktor dan jururawat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 5.11 petang,” katanya.





























