Operasi SAR dihentikan jam 5 petang tadi dan akan disambung semula esok. – Ihsan Bomba
SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 31 tahun dilaporkan hilang di laut selepas terjun dari sebuah feri di Pelabuhan Karamunting, di sini, petang kelmarin.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan melalui talian balai pada jam 10.09 pagi tadi dan sepasukan sembilan anggota diketuai oleh Pemangku Ketua BBP Sandakan, PPgB Suriyadi Darwis bergegas ke lokasi itu.
“Kami tiba di tempat kejadian yang terletak lapan kilometer dari BBP disertai anggota daripada agensi lain iaitu enam anggota polis dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Menurut saksi di lokasi kejadian iaitu pengurus kapal, semasa feri memulakan perjalanan ke Filipina terdapat seorang lelaki warga Filipina bernama Razmel Abdul Rahim secara tiba-tiba terjun ke dalam laut melalui tingkap tingkat empat feri pada jam 6.45 petang kelmarin,” katanya.
Pengurus kapal itu kemudiannya menghubungi IPD Sandakan pada jam 8 malam kelmarin.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian melakukan operasi pencarian melalui kaedah surface searching.
“Pada pagi Khamis, operasi (SAR) mencari mangsa orang hilang di laut dimulakan pada jam 10.47 pagi bersama agensi lain menggunakan bot aluiminium dengan kaedah surface rescue di sekitar kawasan mangsa dilaporkan terjun.
“Radius pencarian 2km dan operasi pencarian telah di tangguhkan pada jam 5 petang dan akan di sambung semula esok,” katanya.



























