INFAQ…Arifin (tengah) dan Omar Raisul (tiga dari kanan) bergambar bersama para penerima infaq PBNS dan YADIM.
KOTA KINABALU: Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) menyalurkan infaq berjumlah RM25,000 kepada lima buah pusat tahfiz terpilih.
Pengerusinya, Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar berkata penyampaian infaq tersebut disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif selaku Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam di negeri ini.

Omar Raisul (kanan) menyampaikan infaq PBNS kepada Maahad Tahfiz Assohabah Kg Lobou Menggatal, disaksikan Arifin (tengah).
“Pusat tahfiz ini terdiri daripada Ma’had Tahfiz Miftahul Ulum Tanjung Aru, Tahfiz Al-Quran Bahrul Ulum Kampung Warisan Inanam, Maahad Tahfiz Assohabah Kampung Lobou Menggatal, Darul Hadis Lil Banat Sipanggil Putatan dan Al-Tahfiz Bayu Syuhadah Ranau.
“Setiap pusat tahfiz menerima jumlah RM5,000 yang kita pindahkan secara dalam talian ke akaun institusi masing-masing,” ujarnya.

Arifin (tengah) menyaksikan penyampaian sumbangan kewangan RM5,000 oleh Omar Raisul (kanan) dan YADIM kepada Darul Hadis Lil Banat Sipanggil Putatan.
Tambah beliau, setakat ini PBNS telah berjaya menyalurkan sebanyak RM241,450 di bawah bantuan institusi tahfiz bagi tahun 2022.
Omar Raisul ditemui media pada Majlis Penutupan Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Bandaraya (KK I-Fest 2023) di Padang Merdeka, dekat sini pada Ahad malam.
Turut Hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Awang Faisal Assyiffa, Pegawai PBNS, Hazran Abdul Basir, Mohd Shahir Mohd Tahir serta Zulfiqri Mohd Jaya.

Omar Raisul (kanan) menyampaikan infaq PBNS kepada Tahfiz Al-Quran Bahrul Ulum Kg Warisan Inanam, disaksikan Arifin (tengah).
Pada majlis itu juga, lima pusat tahfiz terbabit masing-masing menerima sumbangan RM1,000 daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah.
KK I-Fest merupakan festival tiga hari yang memartabatkan seni dan budaya Islam dan majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Jumaat malam.































