Pasukan bomba membawa mangsa ke kawasan kampung untuk tindakan selanjutnya.
TUARAN: Seorang budak lelaki berusia 13 tahun lemas semasa mandi-manda di Sungai Togot, Kampung Rungus Nahaba, di sini, Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohd. Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 1 petang itu.
“Bilik kawalan BBP Tuaran terima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu menerusi talian MERS999.
“Menurut maklumat yang diperolehi, terdapat seorang mangsa lelaki lemas ketika melakukan aktiviti mandi-manda di sungai Togot.
“Setiba di lokasi kejadian, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR). Ketua operasi melaporkan bahawa mangsa telah dijumpai oleh penduduk kampung di sekitar kawasan mangsa dilaporkan lemas,” katanya.
Mohd. Abdul Qawie berkata, pasukan bomba bertindak membawa keluar mangsa dari kawasan sungai ke kawasan kampung menggunakan pengusung.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada jam 5.15 petang,” katanya.





























