James Ratib
KOTA KINABALU: Kewujudan Pertubuhan Wanita Sabah (PEWASA) yang aktif dan proaktif penting dalam membina masyarakat sejahtera di Sabah, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.
Beliau berharap semangat juang PEWASA dalam memajukan kehidupan wanita di Sabah akan berterusan dan dimanfaatkan oleh generasi hari ini dan akan datang.
“Kita semua tahu bahawa wanita di Sabah mempunyai potensi besar dalam setiap bidang dan industri.
“Namun, kita juga faham bahawa terdapat beberapa cabaran dan isu yang perlu ditangani dan diatasi bagi memastikan wanita di Sabah dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan negara.
“Dalam usaha ini, saya yakin PEWASA mampu memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kita berharap PEWASA akan terus melaksanakan program dan inisiatif yang relevan dan berkesan untuk meningkatkan taraf hidup wanita di Sabah,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-45 PEWASA dan Sambutan Hari Wanita 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, kelmarin.
James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut itu berkata, sebagai sebuah organisasi yang diterajui wanita, PEWASA juga mempunyai tanggungjawab besar untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan kesaksamaan gender, pendidikan, kesejahteraan sosial, kesihatan, dan kepentingan ekonomi wanita di Sabah.
“Tahniah dan syabas kepada PEWASA di atas pelbagai pencapaian sejak ditubuhkan pada 1978. Ia berjaya melaksanakan pelbagai program dan inisiatif yang bertujuan memperjuangkan hak dan kepentingan wanita di Sabah.
“Sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, segala usaha dan inisiatif yang dijalankan PEWASA dalam agenda pemerkasaan wanita di Sabah setakat ini amat dihargai,” katanya.





























