Mangsa diusung turun ke Timpohon Gate. – Ihsan Bomba
RANAU: Seorang pendaki wanita tempatan tidak dapat meneruskan usaha menawan Gunung Kinabalu di sini selepas terjatuh semasa mendaki hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian berlaku di Kilometer 5.7, Gunung Kinabalu pada kira-kira jam 1.30 petang tadi.
“Satu panggilan diterima melalui talian balai berhubung insiden itu dan sepasukan tujuh orang anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) diketuai Komander Operasi, PBB Linus Godtol dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian yang terletak 300 meter dari lokasi MOSAR itu, pasukan penyelamat yang turut disertai seorang kakitangan Taman-Taman Kinabalu dan lima Malim Gunung mendapati mangsa yang sedang berada dalam keadaan kesakitan.
“Pendaki berusia 44 tahun itu dilaporkan terseliuh di bahu bahagian kiri dan mengadu sakit di bahagian perut kiri akibat terjatuh semasa mendaki,” katanya.
Ridwan berkata, pasukan MOSAR bersama anggota Taman-Taman Sabah serta Malim Gunung memberi rawatan awal kepada mangsa dan seterusnya membawa mangsa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robertson.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans dan dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapat rawatan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada jam 5 petang,” katanya.































